Entri kali ni, kami nak bincangkan sedikit pasal individu yang berada didalam sesebuah band atau kumpulan muzik itu. Malah, kalau seseorang itu bergerak sebagai artis solo pun; dia perlu tahu dan sedar bahawa pentingnya individu tersebut. Seperti mana yang dijelaskan melalui tajuk entri kita kali ini; pemain bass merupakan ahli yang sangat penting didalam sesebuah band atau mungkin juga kita boleh katakan bunyi bass itu sendiri sangat penting dalam penghasilan sesebuah muzik yang menarik.
Inilah beza kita dengan kelompok manusia nun diseberang sana, lebih senang kita sebut sebagai mat saleh atau orang putih. Mereka ini kerap dan rajin untuk melakukan kajian dan penyelidikan dalam pelbagai aspek. Apa yang menarik disini adalah, sebuah kajian telah dilakukan di Universiti McMaster yang terletak di Hamilton, Ontario; mereka mendapati informasi melodi paling penting adalah dibawa atau dialunkan oleh bunyian tertinggi seperti vokal, gitar dan lain-lain. Manakala informasi irama atau rhythm yang paling penting pula dibawa oleh bunyian paling rendah iaitu bunyi bass.
Kalau kalian merupakan pemuzik atau artis dan sebagainya, kita sedia maklum bahawa irama atau rhythm inilah merupakan kunci utama bagi menarik dan meletak pendengar kita bersama muzik tersebut. Ia merupakan pengikat utama sehingga tanpa disedari, kaki kita mula dihentak-hentak atau kepala kita bergerak mengikut lagu. Walaupun kita tidak tahu sebenarnya berapa tempo lagu itu ditetapkan oleh artis yang mempersembahkannya, namun ia menjadi sesuatu yang semulajadi buat kita sebagai pendengar untuk mula mengesan asas irama kemudian diadunkan bersama melodi yang masuk dengan selera kita; maka lahirlah rasa suka atau minat kita terhadap muzik tersebut.
Berikutan dari kajian ini, maka kita boleh mengenal pasti bahawa selain dari persembahan memukau dari si penyanyi atau pemain gitar dan sebagainya, kita sebagai ahli muzik perlu memberi fokus kepada pemain bass. Kerap kali terjadi dalam sesebuah kumpulan muzik baharu apabila mereka meletakkan pemain bass sebagai ahli kurang penting dalam pembikinan lagu sehingga ia cukup mudah ditukar ganti ahlinya dan kerap menyerap masuk pemain tangkap muat yang selalunya pemain gitar yang tiada tempat didalam kumpulan muzik tersebut atau tiada band lain yang menginginkannya. Bukan tidak boleh, tetapi sekiranya hati atau jiwa si pemain bass itu bukan bersama instrumen yang dimain beliau; maka sukar untuk sesebuah karya itu betul-betul hidup secara semula jadi dan bukan dibuat-buat.
Namun begitu, ini hanyalah pandangan kami sebagai kumpulan muzik yang baru sahaja bertapak tidak sampai satu tahun dalam industri. Pergerakan kami masih jauh dan jelas sekali kami perlu banyak menimba ilmu dalam pelbagai aspek. Namun, disini kami merasa ini merupakan sebuah perbincangan yang menarik dan kami juga sendiri kerap belajar dan berlatih; pada masa sama memupuk pemain bass kumpulan kami agar sedikit demi sedikit mendalami keindahan instrumen bass itu. Walaupun, kerap kali bukan dia lah yang akan kehadapan untuk memukau para penonton atau pendengar; namun sebenarnya dialah yang memegang kunci kejituan bunyi bagi sesebuah kumpulan muzik itu. Khususnya, pabila dia mula bergerak seirama bersama pemain drum dan melayani melodi vokal dan gitar yang berkumandang.
Dengan itu, melalui penulisan ini juga; kami ingin menyampaikan setulus ikhlas terima kasih buat pemain-pemain bass diluar sana dan juga pemain bass kami sendiri diatas usaha kalian bagi memberi nyawa kepada muzik kami. Marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti muzik yang dihasilkan dari semasa ke semasa. Terima kasih semua diatas pembacaan ini. Maaf sekira ada kesalahan dalam penggunaan bahasa dan mungkin juga ejaan. Kumpulan SEGI bakal mengeluarkan demo single pertama kami berjudul ADINDA pada 21hb Februari ini di portal-portal muzik seperti Spotify, Joox, Youtube dan Deezer. Harapnya, hasil kami tidaklah menyakitkan telinga kalian.