Semua yang bermain muzik dalam sesebuah band pasti akan pergi jamming setiap minggu; malah ada yang melakukannya dengan lebih kerap seperti setiap hari. Ia bergantung kepada masa yang dapat diperuntukkan oleh setiap ahli band bagi melakukan aktiviti ber-jamming ni. Sebelum kita pergi lebih jauh dalam perbincangan ni; mari kita selami apa masalah yang sering berlaku pada sesebuah band dalam aktiviti jamming mereka. Apa yang kerap kami perhatikan atau dengar dari keluhan beberapa pemuzik lain adalah sesi jamming yang tidak menghasilkan apa-apa faedah, masa terlalu pendek, sound yang tidak sedap dan ada juga yang tak tahu apa untuk dilatihkan.
Maka dengan ini, mari kita senaraikan 5 tips utama buat kita semua sebagai pemuzik bagi memperbaiki dan memastikan sesi jamming akan datang menjadi lebih efisyen dan bermakna.
1. Buat Pilihan Kecil
Tips ni penting bagi mereka yang baru sahaja nak berjinak dengan dunia jamming dan band ni; tapi ia juga relevan untuk band yang sudah lama berkecimpung. Memang seronok bila dibayangkan jika kita boleh mainkan 10 lagu kegemaran dalam sesi yang hanya 2 atau 3 jam ni. Tetapi, adakah ia realistik untuk kita jadikan ia sebagai rutin sesi latihan kita? Kami berpendapat; adalah lebih baik sekiranya kita gunakan setiap sesi hanya untuk memfokuskan beberapa buah lagu sahaja (3 atau 4 lagu). Ini kerana, dengan jumlah lagu yang lebih kecil; kesemua ahli dapat memastikan setiap aspek lagu dapat dikuasi terlebih dahulu sewaktu latihan sendiri di rumah.
Ia juga boleh memastikan, setiap sesi jamming kita menjadi berbeza-beza dan fresh bila setiap kali band kita mengunjungi studio untuk latihan.
2. Sediakan Rancangan Latihan
Rancangan apakah yang kami maksudkan disini? Ia lebih kepada rancangan bagaimana setiap ahli perlu membuat persiapan menjelang sesi jamming di studio. Ini berkait rapat dengan tip pertama; pabila setiap ahli sudah setuju untuk setlist yang ingin dilatihkan, maka setiap individu perlulah mengadakan rancangan latihan mereka tersendiri untuk memastikan setiap bahagian dalam lagu dapat dilaksanakan sepertimana muzik itu ditulis. Ini kemudian diterapkan kedalam sesi jamming dengan mewujudkan rancangan terperinci bagi setiap bahagian dari lagu yang ingin dimainkan. Melalui perancangan ini, sesebuah band itu dapat memastikan lagu yang dimainkan lebih tepat dan sepertimana yang ia dituliskan. Sebagai contoh, lagu yang dimainkan memerlukan solo dari pemain bass; maka pemain bass perlulah memastikan setiap note yang dimainkan berada dalam key yang betul. Dalam masa sama, pemuzik lain perlulah pastikan dinamik permainan mereka lebih tepat supaya solo yang dihasilkan boleh menonjol.
Pabila semua ini sudah dibincangkan dan diperakui setiap ahli band; maka satu rancangan sudah disediakan dan boleh dilaksanakan melalui latihan individu kemudian dibawa sewaktu sesi jamming.
3. Buat Rakaman
Gunalah segala jenis teknologi yang ada untuk membuat rakaman latihan band kalian di studio itu untuk dijadikan sebagai rujukan. Sewaktu kita melakukan aktiviti jamming, pastinya akan ada kesilapan atau tambahan baru yang mungkin sahaja berlaku secara spontan. Melalui rakaman ini, kita boleh mendengar dengan teliti tahap permainan kita sebagai sebuah band dan juga mengenalpasti bahagian yang perlu diberikan penekanan dalam latihan mendatang secara individu mahupun bersama band. Tidak semestinya rakaman yang dilakukan mesti menggunakan alatan yang mahal atau taraf profesional; cukuplah dengan menggunakan telefon pintar sekarang yang rata-rata punyai sistem rakaman audio yang cukup baik. Melalui rakaman inilah; ahli band boleh memberi komen membina antara satu sama lain untuk membentuk band yang lebih padu.
Melalui rakaman audio ni juga, kerja menjadi mudah untuk jadikan ia sebagai catatan. Siapa lagi sekarang yang rajin bawak buku nota ke studio kan?
4. Komitmen
Berikanlah komitmen yang tinggi kepada sesi jamming kalian; walaupun niat utamanya hanya untuk berseronok-seronok. Mungkin ada diantara ahli band yang berhempas pulas bekerja sepanjang minggu dalam masa sama; cuba untuk berlatih secara individu agar dapat memberikan persembahan terbaik sewaktu sesi jamming. Maka janganlah kita berikan komitmen yang sambil lewa dengan hadir lewat ke studio atau tidak melakukan persiapan rapi untuk bermain sesebuah lagu hingga tidak mampu memainkannya dan lain-lain lagi. Kesemua ahli juga perlulah memberik komitmen penuh untuk mengesahkan tarikh sesi jamming seterusnya agar perancangan awal dapat dilaksanakan untuk menyusun jadual masing-masing.
Dengan komitmen dari seluruh ahli band; pergerakan kumpulan anda akan menjadi lebih produktif dan lebih mudah untuk memastikan objektif dan visi yang ingin dikecapi terlaksana.
5. Hormat
Tip terakhir ni bukan sahaja satu perkara asas malah ia merupakan satu tip yang sangat penting dan besar impaknya kepada sesebuah band untuk berjaya. Hormatilah satu sama lain sebagai ahli kepada band anda. Hormatilah pandangan mereka, hormatilah usaha mereka, hormatilah keberadaan mereka, hormatilah masa mereka dan lain-lain. Ini merupakan aspek penting kerana tiada sesiapa didalam band adalah seorang bos yang hanya mengarah-ngarah pergerakan ahli-ahli band tersebut. Ya, pastinya akan ada seseorang yang akan memimpin pergerakan band; namun ia hanyalah sebuah inisiatif yang perlu anda hormati sebagai anggota band tersebut. Dalam masa sama, individu yang memimpin juga akan turut menghormati keputusan dan kemampuan ahli band yang lain. Dengan terjaganya proses hormat menghormati ini; pastinya keharmonian pergerakan band anda akan lebih terjamin. Maka proses jamming anda akan menjadi lebih lancar dan produktif.
Ambil sedikit masa untuk berehat untuk minum atau meregang badan dalam waktu jamming anda supaya setiap anggota kekal cergas dan segar untuk sesi latihan tersebut. Asas menghormati satu sama lain juga boleh dipraktikkan melalui tidak bermain instrumen anda seperti drum atau gitar dan lain-lain; sewaktu salah seoarang dari kalian ingin mengatakan sesuatu.
Bila kita sebut tentang jamming, pastinya ia melibatkan penggunaan wang untuk sewaan studio dan sebagainya. Jadi hormatilah rakan-rakan band anda dengan memberikan sumbangan yang setimpal bagi setiap sesi dan usaha yang telah diberikan oleh ahli-ahli band anda; agar ini boleh menjadikan proses jamming anda jauh dari isu yang tidak diingini.
Oleh itu, kami berharap agar band-band diluar sana dapat sedikit sebanyak merujuk kepada tip yang dikongsikan ini sebagai permulaan bagi kalian menyusun pergerakan dan strategi lebih baik dalam usaha anda untuk latihan didalam studio. Pastinya ada banyak lagi tip penting yang dapat dibincangkan disini; mungkin anda sendiri boleh kongsikan bersama kami atau bersama pembaca lain, agar manfaatnya dapat dikongsikan bersama. Kumpulan Segi akan teruskan usaha untuk berkongsi maklumat yang bermanfaat dalam masa sama kami berkongsi karya kami bersama kalian semua. Akhir kata, kami berharap kalian dapat menikmati karya dan produk kami yang akan dikeluarkan tak lama lagi dalam bentuk CD, T-shirt, booklet dan lain-lain. Ikuti kami di FB dan Instagram untuk pengumuman dan update menarik dari Segi.