Usai sahaja memainkan lagu terakhir kami di hadapan beberapa penonton yang tampak bersahaja dan santai melayani muzik yang dialunkan; beberapa tepukan dan sorakan kami terima dan itu sahaja cukup untuk memberikan kami kepuasan di dalam hati. Pentas atau lebih tepat lagi lantai persembahan yang disediakan oleh pihak Rantai Art yang bertempat di Laman Budaya Shah Alam baru-baru ini jelas merupakan satu pengalaman baru buat Segi merasai suasana bermain dihadapan pendengar dan penonton yang berbeza dari apa yang kami biasa bertemu.
Pesta Ke’chill menjadi platform terbaru buat kami baru-baru ini dalam usaha kami mempromosi dan menjajakan lagu kami yang sudah dimuatkan kedalam CD berjudul “Will it Matter”. Setiba kami di Laman Budaya tempoh hari, kami disambut oleh persekitaran yang tampak kreatif dan terbuka dari segi pemikiran dan visi yang dibawa oleh individu-individu yang hadir dan juga organisasi yang terlibat. Ia merupakan satu persekitaran kreatif yang tampak ceria dan penuh dengan idea yang berbeda antara satu sama lain. Teruja, itu merupakan satu perkataan yang boleh kami ungkapkan untuk berada dan membuat persembahan kami dihadapan mereka yang hadir.
Pesta Ke’chill ini kami lihat sebagai satu usaha yang sangat ideal bagi melahirkan lebih ramai golongan yang cintakan seni tanpa mengira medium yang digunakan. Ada yang bersyair atau berpuitis, ada yang sibuk mengecat dan menconteng karya mereka, ada yang asyik menghayati watak yang bakal dipersembahkan dalam teater mereka dan tak lupa ada yang hatinya berkecamuk menjangkakan bagaimana muzik mereka akan di terima oleh penonton yang hadir. Secara keseluruhannya, arena Pesta Ke’chill inilah yang boleh menguatkan lagi industri dan pergerakan seni tanah air yang kami lihat kian suram. Ya, kami merasakan ia kian dipandang sepi pabila lebih ramai yang menghabiskan masa hujung minggu di pusat membeli-belah berbanding dari menghadiri acara sebegini atau pergi ke Balai Seni Negara yang tiada cas dikenakan buat pengunjung.
Tidak disangkalkan pabila Segi berasa kerdil berada di arena Pesta Ke’chill tempoh hari, tetapi itu tidak penting kerana mereka yang berada di persekitaran acara mempunyai penerimaan yang sangat baik terhadap seni. Kami berharap, acara yang dianjurkan Rantai Art akan terus berkembang pada masa akan datang, walaupun sebelum ini kami tidak pernah terlibat dengan acara yang dianjurkan mereka. Segi seterusnya akan muncul di Rawang untuk membuat persembahan di Sunburn Studio & Cafe pada 27 Oktober 2018. CD “Will it Matter” kini boleh didapati dengan pakej cenderahati untuk milikan kalian sebagai penyokong industri muzik dan seni tanah air. Sokongan kalian, memberikan ruang dan peluang buat pemuzik seperti kami untuk terus berkarya dan hendaknya; berkembang sehingga ke luar Malaysia satu hari nanti.