Segala perancangan terbantut dan pastinya kegagalan yang akan menimpa sekiranya pemikiran negatif menjadi sandaran kita dalam tempoh sukar ini. Ini juga benar buat ahli kumpulan muzik Segi dalam kerjaya mereka sebagai pemuzik dan pengkarya baharu tanah air. Wabak penyakit yang melanda dunia ini bukan satu perkara yang unik dan hanya menjejaskan satu belah pihak sahaja, malah ia mengganggu-gugat seleruh pelosok dunia tanpa mengira warna kulit mahupun bahasa yang dituturkan. Disinilah wujud satu pengajaran yang sangat besar tentang apa itu ikhtiar dan usaha selain dari melatih jati diri untuk terus kekal dalam minat atau usaha yang telah dipilih. Kedua-dua anggota kumpulan muzik Segi kini mengahadapi saat getir dalam hidup mereka seperti mana yang turut berlaku buat kalian para pembaca diluar sana.
Sudah pasti, semua mereka yang terlibat dalam kerjaya sebagai pemuzik khususnya dalam pentas atau arena indie ini akan merasai sedikit kerisauan tentang hala tuju mereka seterusnya. Keberadaan sesebuah entiti itu untuk bergerak kehadapan juga bergantung pada kemampuan atau keupayaan masing-masing dalam menangani krisis yang dihadapi masyarakat kita sekarang. Dalam hal ini, faktor kewangan memainkan peranan besar dalam kelangsungan karya yang ingin dihasilkan dan ini dilihat akan menjadi sesuatu yang sukar kerana majority dari kita perlu mula merancang penggunaan wang untuk perkara yang lebih mustahak. Tetapi itu tidak menjadi alasan buat kumpulan Segi untuk membatalkan segala niat mereka bagi meneruskan pengeluaran karya mereka seperti yang telah dirancang pada tahun 2020 ini.
Namun begitu, ia tidak bermakna kumpulan Segi mampu seratus peratus untuk bergerak sekiranya tiada sokongan moral dan fizikal dari peminat-peminat muzik khususnya yang berada dalam Malaysia. Setiap karya yang dihasilkan oleh kumpulan Segi adalah satu pelaburan oleh mereka dalam memastikan kesinambungan pergerakan mereka sebagai sebuah band atau kumpulan muzik. “Setiap kali lagu kami didengari melalui laman seperti Spotify atau melalui tontonan MV di Youtube dan sebagainya, memberikan impak buat pergerakan kami dan sedikit sebanyak membantu kami untuk pergi lebih jauh dalam usaha kami” melalui kenyataan Ismail selaku pemain bass kumpulan Segi. Apa yang penting melalui hubungan antara pendengar dan pengkarya adalah kedua-dua belah pihak memperoleh manfaat yang berpanjangan.
Usaha akan diteruskan, kumpulan Segi sentiasa menghargai ruang yang diberikan oleh pendengar untuk mereka terus berkarya. Peluang yang ada juga tidak akan disia-siakan oleh kumpulan Segi bagi merancakkan dan mewarnai sedikit sebanyak pergerakan arena muzik tempatan. Perjalanan yang ada masih jauh dan rintangan yang kini hadir akan dijadikan sebagai satu cabaran buat kumpulan Segi menjadi lebih baik dari apa yang pernah dilakukan sebelum ini. Seluruh tenaga dan fokus kumpulan Segi akan diberikan kepada penghasilan karya yang berkualiti dan seterusnya berkongsi kebaikan yang mereka perolehi kepada masyarakat dalam apa bentuk sekalipun. Mereka turut mengajak para peminat muzik tanah air untuk melihat karya yang dihasilkan dengan telus oleh penggiat-penggiat muzik tanah air dengan perspektif yang lebih mendalam. Supaya sikap cintakan seni yang lebih baik dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.