
Kumpulan Segi cukup teruja dan bersemangat pabila melihat rakan-rakan muzik tanah air yang lain berjaya mengeluarkan karya-karya baharu mereka, walau ia tidak berlaku sekerap yang diharapkan namun ia tetap menjadi pembakar semangat buat Shidi dan Ismail dalam mengusahakan sesuatu. 27 Ogos 2021 ini bakal menyaksikan sebuah karya baharu dari kumpulan Segi berjudul Perisai Jiwa dikongsikan sebagai tanda perjuangan buat kumpulan muzik rock alternatif ini melangkah kehadapan walau terpaksa melupakan perancangan untuk merakam sebuah album studio sulung mereka.
Perisai Jiwa merupakan sebuah penulisan ringkas yang dilakukan atas dasar ingin memberikan perkongsian yang berisi positif kedalam jiwa memandangkan keadaan diluar kini tampak semakin sukar buat segelintir besar dari kita. Shidi selaku penulis lagu menganggap terlalu banyak perkara yang tidak perlu dibincangkan dengan mendalam yang melibatkan topik-topik berunsur negatif berada dalam kalangan masyarakat kini. Ia dilihat memberi impak yang tidak elok kepada cara pemikiran dan juga sikap kita pabila berada dalam realiti kehidupan sehingga boleh mengancam keselamatan dan keharmonian hidup masyarakat kita.

Sebagai sebuah kumpulan muzik yang kecil, Segi tidak menganggap bahawa karya ini akan mengubah segalanya. Namun begitu, mereka percaya bahawa usaha kecil sebegini dapat meniup semangat positif walau tidak kepada semua yang berada di luar sana dan ia sekurang-kurangnya dapat menjadi sebahagian langkah kecil bagi membantu membaik pulih keadaan semasa. Para pendengarlah yang mempunyai kuasa untuk menyampaikan apa yang baik atau positif kepada orang seterusnya agar rantaian kebaikan dapat diperluaskan sehingga menjadi sebahagian dari diri kita, seterusnya menjadikan kita masyarakat yang lebih berkualiti dari sebelumnya.
Lagu baharu ini telah dirakam dengan menggunakan teknik rakaman yang unik dan berlainan dari karya-karya terdahulu kumpulan Segi. Mungkin ia bukan sesuatu yang baru dalam industri muzik global, namun ia tetap menjadi pengalaman yang berguna dan dilihat sebagai tanda aras untuk cara kerja akan datang dalam penghasilan muzik selepas ini. Shidi dan Ismail telah merakam bahagian mereka di beberapa lokasi termasuk di ruang parkir tempat kerja Ismail pada satu masa dengan menggunakan peralatan studio yang dimuatkan kedalam kenderaan mereka sendiri. Rakaman drum buat lagu ini telah dilaksanakan oleh Bakri Ismail (pemain drum Flop Poppy) di studio rakamannya dan dihantar kepada jurutera audio berpengalaman iaitu Hafiz Ahmad. Kesemua proses ini telah dilakukan dalam tempoh kawalan pergerakan dan dilaksanakan secara maya melalui jaringan komunikasi dan rangkaian data sahaja tanpa bersemuka. Ia mungkin dianggap sedikit leceh dan tidak ideal, namun itulah yang terpaksa dilakukan supaya ia tetap dapat disiapkan dengan sehabis baik.
Para peminat muzik tempatan boleh mendengarkan lagu Perisai Jiwa dari kumpulan Segi ini bermula dari 27 Ogos 2021 di semua platfom penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain. Sebuah muzik video juga bakal disediakan pada waktu yang sama dan boleh ditonton melalui laman Youtube rasmi kumpulan Segi. Produksi muzik video ini telah dilaksanakan bersesuaian dengan segala halangan rakaman visual dan kawalan pergerakan yang masih dijalankan oleh negara Malaysia buat masa ini, maka setiap tontonan dan sokongan adalah amat dihargai oleh kumpulan Segi.